Benarkah warna kesukaan boleh menjadi kayu ukur kepada rasa cinta seseorang? Walaupun ada pihak yang kurang bersetuju, namun adakalanya warna yang diwakili mampu menyatakan perasaan sebenar kamu terhadap si dia.
Oleh itu, apa kata kita cuba mengukur cinta melalui warna. Apa yang penting, untuk melihat kejayaannya anda perlu mengetahui warna kesukaan anda serta pasangan.
Jangan sesekali berfikir bahawa menyukai warna yang sama, menjadikan kamu berdua sebagai pasangan yang serasi. Hakikatnya, cinta perlukan kombinasi warna yang berlainan agar cinta yang terjalin menjadi lebih ceria, harmoni dan romantis.
1. Merah + Biru
Si biru seorang yang suka beralah dan berjiwa lembut. Namun, jangan pula sesekali kamu mengambil kesempatan ke atas jiwanya yang lembut itu. Kebanyakan mereka yang menyukai warna biru seorang yang berjiwa seni.
Si merah pula selalunya lebih agresif dan keras hati. Meraka selalunya tidak segan silu untuk melakukan langkah pertama asalkan apa yang mereka hajati terlaksana. Kalau boleh setiap apa yang mereka ingini harus diturutkan.
Dalam konteks pasangan pula, kombinasi si merah dan si biru akan menjadikan hubungan yang terjalin lebih ceria. Apa yang paling penting adalah sikap saling bertolak ansur dan haruslah membina rasa persefahaman agar percintaan yang terjalin kekal untuk selamanya.
2. Hijau + Oren
Dua kombinasi warna yang agak kurang serasi. Ini kerana mereka yang menyukai warna ini dikatakan agak manja dan bukan seorang yang suka berdikari. Mereka juga dikatakan suka dibelai dan disayangi.
Jika mereka tidak mendapat apa yang mereka mahukan dari insan tersayang, mereka mudah naik angin dan akhirnya hubungan yang terjalin putus di tengah jalan.
Bagi pasangan yang mahu terus mencuba, mereka perlu selalu bersabar dan sentiasa berbincang apabila wujud sesuatu masalah yang menggugat perhubungan mereka. Dengan perbincangan dari hati ke hati, ia mampu menyelamatkan cinta yang terjalin di antara si hijau dan si oren.
3. Biru + Hijau
Kombinasi si biru dan si hijau dikatakan kombinasi yang paling sempurna. Tidak banyak masalah yang wujud di antara mereka kerana pasangan jenis ini saling sayang-menyayangi, bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain.
Walaupun ada sahaja cabaran di dalam hubungan cinta mereka, mereka dengan mudah mengatasinya. Sikap mereka yang matang serta tidak mudah percaya kepada khabar angin menjadikan si biru dan si hijau cukup serasi bersama.
Malah percintaan yang terjalin di antara si biru dan si hijau juga selalu dicemburui oleh rakan-rakan sekeliling. Namun mereka tidak pernah merasa bangga diri kerana percaya setiap orang berhak untuk mencari kebahagiaan sendiri.
4. Merah + Oren
Kombinasi warna merah dan oren pula dikatakan kurang sesuai. Ini kerana personaliti mereka yang menyukai kedua-dua warna ini dikatakan sangat agresif dan lasak.
Jika menjalinkan hubungan yang istimewa sekalipun, mereka jarang menyatakan rasa cinta kepada pasangan. Ini kerana mereka lebih gemar mengamalkan konsep, cinta tidak perlu dinyatakan dengan perkataan-perkataan romantis, cukup sekadar perhatian yang diberikan.
Oleh sebab itu, si merah dan si oren dikatakan kurang sesuai untuk bersama. Mereka seharusnya mencari seorang yang berjiwa halus dan romantik agar jiwa mereka yang keras itu dapat dilembutkan. Rasanya si biru cukup sesuai buat mereka.
0 Responses to "Cinta Dan Warna":
Post a Comment